Isnin, 26 Oktober 2009

Ahad, 25 Oktober 2009

ADUN Manek Urai angkat sumpah jawatan

Thu | Oct 22, 09 | 4:20:55 pm MYT
KOTA BHARU, 22 Okt: Mohd Fauzi Abdullah dari PAS yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai dalam pilihanraya kecil 14 Julai lalu mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam persidangan DUN Kelantan Selasa lalu.




Beliau mengangkat sumpah di hadapan Speaker DUN Kelantan, Ustaz Nassuruddin Daud dengan disaksikan oleh Menteri Besar Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan seluruh ADUN.

Fauzi yang lebih dikenali dengan panggilan Abe Uji mengalahkan calon BN Tuan Aziz Tuan Mat dengan majoriti 65 undi.

Pilihanraya itu diadakan berikutan kematian ADUN terdahulu, Ismail Yaacob.

Fauzi kelihatan tidak kekok berada di dalam dewan dan bergaul dengan ADUN-ADUN yang lain sekaligus menafikan dakwaan Umno BN kononnya Calon PAS tidak berpelajaran tinggi dan tidak dapat membiasakan diri dengan urusan negeri.

Dalam pada itu, Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan (BBC) menyokong penuh titah ucapan Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail Petra yang menyokong usaha kerajaan Kelantan untuk menuntut bayaran royalti petroleum seperti perjanjian yang telah termaktub antara kerajaan negeri dan Petronas pada 1975.

Baginda bertitah berasaskan data daripada Jabatan Perangkaan yang diedarkan Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri, sumbangan Kelantan kepada pengeluaran petroleum seluruh negara bagi tahun 2005 hingga 2008 adalah lebih tinggi daripada pengeluaran negeri Sabah.

Pengerusi BBC, Abdullah Yaakob yang juga Adun Ayer Lanas berkata, ADUN di pihak kerajaan amat bersetuju dan mengakui apa yang dilakukan sehingga kini oleh kerajaan amat bertepatan dengan titah baginda.

Menyentuh hubungan di antara kerajaan negeri dengan kerajaan pusat,beliau berkata titah Tengku Muhammad Faris amat dihargai dan berharap kerajaan pusat dapat meningkatkan hubungannya dengan kerajaan negeri.

Ini kerana ujarnya, walaupun kerajaan negeri di bawah pemerintahan PAS,ia tetap menjadi tanggungjawab kepada kerajaan pusat untuk membantunya.

"Saya merakamkan junjung kasih kepada Pemangku Raja yang begitu perihatin kepada pemerintahan negeri ini dan titah baginda yang menyentuh pelbagai isu menggambarkan baginda mengambil berat hal pentadbiran dan kebajikan rakyat negeri ini," katanya yang ditemui selepas sidang dun berlangsung.

"Abdullah juga berkata titah ucapan Tengku Muhammad Faris kali ini amat bermakna bagi negeri Kelantan dan kesungguhan kerajaan untuk menjadikan Kelantan sebagai Negeri Jelapang Makanan Negara tahun 2015 telah mendapat perhatian serius dari baginda sendiri.

"Kita sebagai Ahli Dewan akan sedaya upaya melaksanakan titah Pemangku Raja demi kesejahteraan negeri ini dan kerjasama yang begitu kukuh antara Ahli Dewan dengan kerajaan negeri akan mempercepatkan lagi pembangunan negeri ini," katanya. _


harakahdaily.net

Sekolah Agama Kelantan cadang perkenal bahasa mandarin

Sekolah Agama Kelantan cadang perkenal bahasa mandarin
Thu | Oct 22, 09 | 4:14:18 pm MYT
KOTA BHARU, 22 Okt: Sekolah agama di Kelantan dijangka menjadi perintis memperkenalkan pembelajaran bahasa Mandarin kepada pelajar-pelajarnya.

Usaha ke arah itu sedang giat dilaksanakan sekarang dengan menubuh Kelab Bahasa Mandarin di tujuh sekolah di Yayasan Islam Kelantan (Yik).

Sekolah terbabit iaitu Maahad Muhammadi Lelaki, Maahad Muhammadi Perempuan, Maktab Pengajian Islam, Maahad Arabiah Pasir Mas, Maahad Tahfiz al Quran di Pulai Chondong, Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah dan Sekolah Menengah Ugama (Arab) Tarbiah Mardhiah, Panchor.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, kelab tersebut dilancar di Maahad Muhammadi Perempuan pada Julai lalu.

"Sehingga sekarang seramai 250 pelajar di tujuh sekolah terbabit menyertai kelab berkenaan biar pun ia baru diperkenalkan.

"Pembelajarannya hanya diadakan pada hari cuti dan hujung minggu," katanya menjawab soalan Rohani Ibrahim (PAS ? Tanjung Mas) pada persindangan Dun hari ini.

Mohd Amar berkata, bilangan Kelab Bahasa Mandarin akan ditambah lagi pada tahun hadapan memandangkan sambutan pelajar begitu menggalakkan sekarang.

Menurutnya dengan ada kelab tersebut membolehkan pelajar menguasai bahasa Mandarin bagi menambahkan lagi pengetahuan mereka.

"Memandangkan sambutan menggalakkan, tidak dapat ditolak pada masa hadapan sekolah agama di Kelantan akan memperkenalkan subjek Bahasa Mandarin," ujarnya.

Menjawab soalan tambahan Adhan Kechik (BN ? Bukit Bunga) katanya buat masa ini kerajaan belum lagi bercadang menghantar pelajar melanjut pengajian dalam bidang agama di China memandangkan belum ada institusi pengajian tinggi seumpama itu di negara berkenaan sekarang.

Bagaimanapun katanya kerajaan negeri telah menghantar empat pelajar lepasan Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias) melanjutkan pengajian dalam bahasa Cina di negara berkenaan.

Katanya, pelajar tersebut kini menjadi pengajar di Kias dalam subjek bahasa Cina.

Di Kelantan Maahad Darul Anwar di Pulau Melaka menjadi sekolah menengah agama pertama memperkenalkan subjek bahasa Cina sejak beberapa tahun lalu.

Menjawab soalan Zulkifli Mamat (PAS ? Pulai Chondong) Mohd Amar berkata, Yayasan Islam Kelantan (Yakin) menaja 20 pelajar yang mengikuti pengajian dalam bidang perubatan di Mesir.

Tajaan itu bermula tahun lepas di mana 10 pelajar melanjut pengajian dalam bidang berkenaan dan 10 pelajar lagi tahun ini.

Katanya, kos pengajian bagi setiap pelajar dianggarkan sebanyak RM200,000 sehingga tamat pengajian.

Kata beliau juga jumlah pinjaman atau biasiswa yang dikendalikan di bawah Yakin bagi tempoh 2009 - 2010 dianggarkan sebanyak RM8.7 juta, di mana sehingga Oktober tahun ini sebanyak RM3.8 juta telah dikeluarkan.

Sebelum itu menjawab soalan Wan Yusoff Wan Mustafa (PAS ? Gual Ipoh) katanya, sejak diwujudkan pada 1981 sehingga sekarang seramai 23,470 pelajar mendapat pinjaman atau biasiswa daripada Yakin membabitkan peruntukan sebanyak RM71.7 juta.

Mohd Amar juga memberitahu kerajaan negeri membeli sebuah aparment setinggi sembilan tingkat di Kaherah yang akan dijadikan asrama bagi pelajar Kelantan yang belajar di Universiti Al Azhar.

Menurutnya asrama itu yang melibatkan kos sebanyak RM17 juta dijangka siap sepenuh tahun hadapan.

Sementara itu, anggota Exco, Datuk Husam Musa memberitahu projek koridor depu yang dilaksanakan di Kelantan sejak dua tahun lepas kini semakin mendapat sambutan menggalakkan.

Katanya, dianggarkan terdapat lebih satu juta pokok depu yang tumbuh meliar di seluruh negeri ini.

Malah di Machang terdapat lebih 100 pokok depu yang mempunyai saiz besar sehingga lebih sepemeluk.

"Mengambil kira perkembangan tersebut kerajaan negeri melalui Perbadanan Menteri Besar Kelantan mewujudkan ladang depu di kawasan seluas 592 hektar di Gua Musang.

"Selain itu syarikat swasta juga berminat menanam pokok depu memandangkan pulangannya begitu tinggi," ujarnya.

Menurutnya pada tahun lepas pengeluaran gaharu daripada pokok depu sebanyak 131,601 kilogram dan meningkat kepada 138,552 kg tahun ini.

Kata beliau hasil pokok depu begitu tinggi hasil penemuan teknologi baru dengan kaedah suntikan bagi mengeluarkan getahnya. _

harakahdaily.net